TUARAN: Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyatakan bahawa beliau menghormati keputusan rakyat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah, hari ini.
Beliau yang juga calon GRS bagi DUN Sulaman berkata, pilihan pengundi adalah asas demokrasi dan penentu kepada pembentukan pentadbiran kerajaan negeri yang berkesan.
“Kita tunggu keputusan rakyat, kita hormati keputusan rakyat. Siapa yang mereka pilih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, di sini.
Mengulas berkenaan situasi hari pengundian di seluruh Sabah, beliau menjelaskan bahawa proses pengundian dilihat berjalan dengan lancar.
“Ya, saya dapat laporan bahawa proses pengundian berjalan dengan baik, aman dan damai.
“Keharmonian ini mesti dipertahankan walaupun ramai calon bertanding.
![]() |
| Hajiji sempat menyantuni pengundi di sekitar SK Serusup sebelum menunaikan tanggungjawab mengundi. |
“Kita berharap pengundi di Sabah yang berdaftar, keluarlah mengundi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa GRS akan meraih kemenangan kerusi bagi kawasan itu.
“Harapan saya, di Sulaman ini saya amat yakin bahawa GRS akan memperoleh kemenangan.
“Saya sudah lama mewakili kawasan ini dan saya tahu keadaan di Sulaman. Kita tunggu sahaja selepas keputusan rakyat nanti,” tambahnya.
Hajiji yang membuang undi bersama isterinya, Datin Seri Juliah Salag pada 11.41 tengah hari itu turut berkongsi bahawa empat orang anaknya juga mengundi di tempat yang sama.

