KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Razali Razi merakamkan penghargaan kepada semua pengundi di kawasan berkenaan meskipun keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17 tidak memihak kepada beliau.
Razali berkata, beliau menerima keputusan pengundi dengan penuh keinsafan dan rasa hormat, sambil menyifatkan pengalaman ketika berkempen sebagai suatu perjalanan yang sangat berharga.
“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk berkempen, menziarahi kampung, duduk berbual dan mendengar sendiri harapan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Dalam keputusan rasmi, Razali tewas tipis kepada calon Warisan, Azhar Matussin, hanya dengan majoriti 63 undi. Razali meraih 8,297 undi manakala Azhar memperoleh 8,360 undi.
Dalam pada itu, Razali yang mesra disapa Datuk Bob turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Azhar, selain menghargai persaingan sihat bersama calon-calon lain termasuk Meriah Osman, Joe Arfan, Nordin Thani dan Nabila Norsahar.
Walaupun tidak berjaya memperoleh mandat kali ini, Razali menegaskan komitmennya terhadap Darau tidak akan luntur.
“Walaupun tidak menang, Darau tetap di hati saya. Saya akan terus bekerja, terus membantu dan terus turun kampung seperti biasa,” ujarnya.
Beliau menambah, semangat untuk berkhidmat tidak hanya bergantung kepada jawatan, sebaliknya lahir daripada keikhlasan serta rasa tanggungjawab terhadap rakyat.
“Selagi saya mampu, selagi rakyat Darau masih memanggil nama saya, saya akan hadir untuk membantu,” katanya.
