5,000 penduduk terima bakul makanan daripada KKDW



SANDAKAN: Seramai 5,000 penduduk menerima bakul makanan menerusi Program Sentuhan Kasih Desa@Libaran anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Serbaguna Libaran itu merupakan antara inisiatif KKDW dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar serta memperkasa ekonomi setempat melalui pelbagai aktiviti keusahawanan dan sokongan perkhidmatan.

Penerima bantuan terdiri daripada kumpulan e-Kasih, mangsa bencana, komuniti kelas KEMAS serta keluarga B40 pelajar Tabika KEMAS.

Program tersebut turut melibatkan empat agensi utama di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Berhad.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Komuniti KEMAS Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Panglima Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam program sama, turut diadakan penyerahan replika kunci kepada penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kategori Bina Baharu serta penyerahan cek cura berjumlah RM6,000 kepada penerima Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

Sepanjang tahun 2025, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM136.02 juta di bawah PPRS melibatkan pembinaan 852 unit bina baharu dan baik pulih 2,729 unit rumah.

Manakala, bagi tempoh 2023 hingga 31 Oktober 2025 pula, seramai 288 usahawan Sabah menerima geran berjumlah RM1.521 juta bagi meningkatkan kapasiti, penjenamaan dan kebolehpasaran produk.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat  KKDW Zaflin Pakwanteh, Timbalan Presiden 1 Majlis Perbandaran Sandakan Wilson Thomas dan Ahli Parlimen P.184 Libaran Datuk Suhaimi Nasir.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama