Kerjasama GRS-PH dorong pembangunan Lumadan, Ruslan sasar mandat baharu

 

BEAUFORT: Kerjasama kukuh antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dikenal pasti sebagai faktor utama bagi memastikan pembangunan di Lumadan dapat diteruskan secara lebih terperinci. 

Calon GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan amat penting agar peruntukan pembangunan dapat disalurkan dengan lancar.

“Kalau kita tidak ada kerjasama dengan kerajaan pusat, memang sukar untuk dapat dana. 

“Walaupun kita berkuasa di negeri, tanpa sokongan pusat, banyak perkara tidak dapat dilaksanakan.

“Kita akan memohon kepada rakyat supaya memberi peluang kepada kita untuk menerajui kepimpinan di Lumadan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu. 

Menurutnya, pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa negeri akan berdepan kekangan kewangan jika tidak berada dalam satu garis sokongan dengan kerajaan pusat.

Ruslan menambah bahawa gabungan GRS–PH dalam Kerajaan Madani kini memberi ruang lebih besar kepada Sabah, termasuk Lumadan, untuk merealisasikan  keperluan rakyat.

“Kita lihat hari ini, banyak dana sudah disalurkan kepada kerajaan GRS plus PH. Ini bukti bahawa kerjasama yang ada membolehkan kita memenuhi apa rakyat mahu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pasukan jentera di Lumadan kini digerakkan secara bersama oleh ahli-ahli parlimen dan parti komponen lain. 

“Kami telah berhubung dengan Datuk Mazlan @Joehari Manan, Datuk Matbali Musah dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Keadilan Rakyat (PKR), AMANAH serta Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) untuk gabungkan jentera. 

“Kita yakin jentera kita sudah bersiap sedia. Bukan lagi bersiap sedia, sudah turun ke lapangan untuk menggerakkan dan memastikan kemenangan GRS di Lumadan itu akan dapat direalisasikan,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau turut menyeru pengundi keluar awal pada hari pengundian memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, bagi mengelakkan risiko tidak sempat mengundi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama