100,000 pekerja gig Sabah akhirnya diiktiraf di bawah undang-undang baharu

 

KOTA KINABALU: Seramai 100,000 pekerja gig di Sabah kini mendapat pengiktirafan undang-undang sebagai pekerja selepas mendapat kelulusan akta baharu di Parlimen.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata undang-undang tersebut membuka lembaran baharu buat pekerja gig yang sebelum ini beroperasi tanpa jaminan keselamatan.

“Dengan undang-undang baharu ini, pekerja gig kini dilindungi dari sudut keselamatan sosial, standard pekerjaan yang munasabah serta saluran aduan yang lebih jelas.

“Kita tidak mahu ada mana-mana pekerja, termasuk di Sabah, terus terpinggir.

“Perubahan undang-undang sahaja tidak cukup. Kita perlukan jentera negeri yang mampu menguatkuasakannya dan memastikan hak pekerja gig Sabah terjamin,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Konvoi yang dihadiri Sim bersama calon Pakatan Harapan bagi DUN Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 pekerja gig Sabah dalam suasana penuh meriah di Tanjung Aru.

Sim berkata sesi pertemuan itu memberi gambaran jelas mengenai realiti kehidupan pekerja gig, khususnya golongan muda yang bergantung kepada pendapatan harian.

“Sabah sahaja ada sekitar 100,000 pekerja gig. Golongan ini menyumbang besar kepada ekonomi negara tetapi selama ini beroperasi tanpa payung perlindungan.

“Kita tidak boleh biarkan mereka terus bekerja dalam keadaan tidak seimbang,” katanya.

Sim turut memuji peranan Chan yang dianggap penghubung penting dalam memastikan suara pekerja Sabah sampai ke peringkat kebangsaan.

“Kehadiran pemimpin seperti Datuk Chan sangat penting.

“Ia memastikan dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif untuk kesejahteraan rakyat Sabah,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama