GRS yakin kekal kuasai Lumadan dan Klias – Hajiji

BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dan Klias berikutan sokongan padu jentera serta kerjasama kukuh parti-parti komponennya.

Menurut pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, beliau berasa yakin kerana masyarakat yang hadir memberi sambutan yang baik sepanjang kempen dijalankan.

“Saya amat yakin dengan jentera yang baik, sokongan yang padu dan juga kerjasama daripada semua parti-parti kompenan. Insya-Allah kita boleh mempertahankan kerusi kawasan Lumadan dan Klias ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga (GRS) DUN Klias dan DUN Lumadan bertempat di dewan Begandang, Beaufort, hari ini.

Dua calon yang mempertahankan kerusi tersebut ialah Datuk Isnin Aliasnih bagi DUN Klias dan Datuk Ruslan Muharam di DUN Lumadan. 

Beliau mengatakan bahawa kekuatan kedua-dua calon serta rekod perkhidmatan mereka sebelum ini menjadi faktor utama yang mendorong keyakinan pengundi.

Disamping itu, Hajiji turut berkata GRS bukan sahaja mahu mengekalkan kerusi sedia ada, malah yakin dapat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti yang selesa.

“Lebih daripada 37, majorit mudah .. Insya Allah. Kita bertanding 55 dan kita yakin kita dapat lebih daripada 40,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau uga mengesahkan bahawa jentera GRS di setiap DUN menyediakan bantuan untuk pengundi luar, termasuk insentif tambang perjalanan bagi mereka yang pulang untuk mengundi.

“Kita ada peruntukan untuk bagi pengundi-pengundi luar, terutama yang daripada jauh datang mengundi, kita ada sediakan peruntukan untuk mereka, bantu mereka,” ujarnya. 

Seramai lebih dari 3,000 orang penyokong hadir memeriahkan majlis terbabit.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama