TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sebagai keputusan terburu-buru.
Anwar berkata, keputusan sama ada kerajaan akan merayu atau tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih belum dimuktamadkan.
“Peguam Negara baru saja rujuk perkara ini tiga hari lalu.
Mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan esok (Selasa) untuk teliti dan putuskan pendirian kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah di Pasar Taman Semarak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana setiap langkah perlu mengikut proses perundangan yang betul.
“Pandangan peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu… itu sudah saya jelaskan.
Tapi kita kena dengar dulu penjelasan Peguam Negara, baca dulu penghakiman yang baru diterima tiga hari lalu,” katanya.
Menurut Anwar, sebagai pemimpin, tindakan perlu berpaksikan fakta dan undang-undang, bukan kerana tekanan atau kempen berasaskan sentimen.
“Kadang-kadang sebab desakan dan kempen yang main sentimen, kita jadi panik.
Tapi sebagai kerajaan, kita kena tenang, dengar semua pihak dan buat keputusan yang betul,” katanya.
Beliau menegaskan, Kerajaan MADANI tetap berpegang pada prinsip keadilan dan sentiasa mengambil kira keresahan rakyat Sabah dalam setiap keputusan yang dibuat.
