TAWAU : Kementerian Dalam Negeri (KDN) memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, dengan kekuatan seramai 10,000 pegawai dan anggota digerakkan di seluruh negeri.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata arahan pembekuan cuti kepada semua anggota telah dikeluarkan bagi memastikan tumpuan sepenuhnya diberikan terhadap penugasan semasa tempoh pilihan raya, kecuali bagi cuti yang diluluskan mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan tambahan, pasukan bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan digerakkan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
“Untuk seluruh negeri Sabah, kita mempunyai kekuatan 10,000 anggota, dan jika perlu ditambah, kita akan bawa dari Sarawak.
“Dari segi latihan, semua aspek termasuk kawalan perjalanan peti undi, terutama di kawasan pedalaman (remote area), telah dijalankan melalui latihan dan simulasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program KDN Madani: Inspirasi Malaysia di Dewan Terbuka Pekan Merotai Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman, dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.
Saifuddin berkata, beliau menerima taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berhubung kesiapsiagaan pasukan itu beberapa minggu lalu, dan keyakinan diberikan bahawa semua persiapan berada dalam keadaan terbaik menjelang penamaan calon pada 15 November dan hari pengundian pada 29 November ini.
Beliau menegaskan, tanggungjawab polis bukan sekadar memastikan ketenteraman awam, tetapi turut memberi tumpuan kepada keselamatan pengundi dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi terlibat di seluruh negeri.
“Pengundi perlu melihat PRN kali ini sebagai pesta demokrasi. Mereka harus merasa selamat untuk keluar menunaikan tanggungjawab tanpa rasa bimbang terhadap sebarang ancaman atau ugutan.
“Itu tugas hakiki pasukan polis, menjaga keselamatan dan memastikan proses pilihan raya berjalan lancar,” katanya.
Saifuddin berkata, sesi taklimat dan penyelarasan bersama agensi keselamatan serta jabatan berkaitan turut dijalankan secara berperingkat bagi memastikan semua keperluan operasi dan logistik berada dalam keadaan terbaik menjelang PRN.
