GRS fokus reformasi undang-undang, perkasa hak pembeli hartanah

Armizan berkata demikian pada sidang media di Pejabat UPPM DUN Kawang, bersama pemilik bangunan Century Plaza, Papar, hari ini...

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara agenda utama dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah, akan datang.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sepanjang tempoh lima tahun lalu, sebanyak 51 enakmen telah dipinda atau digubal.

Usaha reformasi itu akan diteruskan bagi memastikan Sabah memiliki kerangka perundangan yang lebih kondusif serta melindungi hak rakyat.

Katanya, fokus utama kali ini ialah sektor hartanah, khususnya membabitkan isu hak milik, kelewatan penyelenggaraan serta perlindungan pengguna dalam pasaran perumahan negeri itu.

"Antara pembaharuan yang akan dilaksana termasuk tindakan terhadap Enakmen Tanah Hak Milik Subsidiari 1972.

"Sama ada dimansuhkan atau dipinda, selain penggubalan undang-undang baharu iaitu Enakmen Pengurusan Bangunan 2025.

Beliau berkata, undang-undang itu akan memperkenalkan jawatan Pesuruhjaya Bangunan (Building Commissioner) bagi mengukuhkan penguatkuasaan, mempercepat pembentukan perbadanan pengurusan dan menyelesaikan isu kelewatan hak milik yang menghantui ramai pembeli.

“Reformasi ini bukan janji kosong. Draf enakmen sudah siap disediakan Pejabat Peguam Besar Negeri bersama kementerian berkaitan. Sasaran kita untuk bentangkan pada tahun depan, sebaik kerajaan baharu dibentuk,” katanya.

Armizan menambah, pembaharuan itu juga selaras dengan perkembangan pesat sektor hartanah di Sabah, selain memastikan undang-undang sedia ada lebih responsif terhadap keperluan semasa dan hak pembeli sama ada kediaman atau komersial.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat UPPM DUN Kawang, pada Ahad.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama