Dulu mereka label kita ‘sarang lompat’, kini Warisan sambut pemimpin lompat dengan permaidani merah – Armizan


PAPAR: Tindakan Parti Warisan (WARISAN) menerima kemasukan segelintir pihak termasuk pemimpin daripada parti lain dengan 'permaidani merah' disifatkan telah menormalisasikan budaya lompat parti di negeri ini.

Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu menunjukkan pendirian tidak konsisten dalam kalangan kepimpinan Warisan, sedangkan sebelum ini parti berkenaan lantang menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ‘sarang lompat parti’.

“Terima kasih kepada Warisan kerana mereka sendiri telah menjawab tuduhan mereka terhadap GRS. Kalau dulu mereka kata GRS ‘sarang orang lompat’, kini, mereka menormalisasikan perkara itu. 

“Kalau kita lihat perkembangan terbaru, siap ada sidang media khas untuk meraikan kemasukan mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat UPPM DUN Kawang, di sini, hari ini. 

Tambah beliau, penerimaan Warisan terhadap pemimpin lompat parti, membuktikan parti itu telah menjawab sendiri tuduhan yang pernah dilemparkan terhadap GRS sebelum ini.

“Kalau perkara itu tidak mendatangkan manfaat kepada mereka, mereka tentang orang-orang lompat. Tapi bila ia memberi keuntungan politik, mereka terima dan raikan pula. Orang bilang, cakap tidak serupa fikir,”jelasnya. 

Armizan turut mengingatkan bahawa tindakan berpindah parti bukan satu kesalahan dari segi undang-undang, namun mencerminkan prinsip perjuangan seseorang pemimpin.

“Tiada undang-undang melarang pemimpin bukan wakil rakyat berpindah parti, itu hak masing-masing. Tetapi perjuangan sebenar bukan kerana kedudukan atau calon, sebaliknya kerana prinsip,” katanya lagi. 

Mengulas mengenai perpindahan beberapa individu daripada GRS, Armizan berkata perkara itu tidak menjejaskan kekuatan parti yang kukuh sekarang. 

“Kalau itulah puncanya, saya anggap ini proses penyaringan. Kita mahu pemimpin yang kekal bersama adalah mereka yang benar-benar faham perjuangan, bukan yang mengejar kepentingan peribadi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyeru kepada semua ahli parti agar kekal fokus terhadap perjuangan bersama dan tidak menjadikan isu calon sebagai ukuran kesetiaan.

“Dalam perjuangan politik, semua ada peranan masing-masing. Jangan kerana mahu jadi calon, kita hancurkan perjuangan yang telah kita bina bersama,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama