PAPAR: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyeru pengundi di Pantai Manis supaya membuat pilihan tepat pada hari pengundian dengan menyokong calon di kawasan itu, Datuk Pengiran Saifuddin Tahir.
Hajiji berkata, rakyat perlu memberikan sokongan kepada calon GRS bagi memastikan kawasan itu dapat menikmati pembangunan yang lebih pesat.
“Saya minta pengundi-pengundi di sini keluar beramai-ramai. Sokong calon GRS.
“Kita mahu menang di Pantai Manis ini kerana kita mahu bawa kemajuan di Pantai Manis ini,”katanya ketika ditemui pemberita selepas Kempen Rumah Kita, Kita Jaga yang bertempat di Kampung Sungai Padang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, memberi sokongan padu kepada calon amat penting, memandangkan hanya wakil rakyat daripada parti kerajaan yang mampu membawa pembangunan yang diperlukan di kawasan tersebut.
“Hanya calon ataupun parti daripada kerajaan yang boleh merubah ataupun membawa kemajuan di Pantai Manis. Kalau calon pembangkang, macam mana?”jelasnya.
Hajiji turut menyatakan keyakinannya bahawa Pantai Manis mampu dimenangi calon GRS jika pengundi memberikan komitmen untuk turun mengundi.
“Walaubagaimanapun saya yakin Pantai Manis ini boleh dimenangi oleh calon kita daripada GRS,”tambahnya.
