KOTA KINABALU: Dua pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah, Jamawi Jaafar (Melalap) dan George Hiew (Karamunting) antara nama yang diumumkan bakal berentap di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum PRU) Sabah pada 29 November ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Pengumuman Calon Keadilan Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Dalam pengumuman itu, Anwar menegaskan bahawa calon baharu yang diumumkan akan memperkukuh barisan kepimpinan pelbagai latar bagi membawa suara rakyat Sabah ke peringkat tertinggi.
“Ini parti perjuangan. Saya bukan Perdana Menteri yang menyakat harta rakyat. Kita datang ke Sabah untuk memperjuangkan hak rakyat negeri ini,” ujar beliau.
Jamawi, yang pernah menjadi ADUN Kemabong dan juga pemimpin kanan dalam GRS, kini membawa semangat baharu untuk menawan DUN Melalap, kawasan kuat bagi Peter Anthony daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Anak kepada Yang Di Pertua Negeri Sabah yang juga merupakan bekas ahli parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa akan mewakili DUN Sindumin.
Manakala, Peto Galim yang dahulunya bekas ahli parlimen Putatan, akan bertanding bagi DUN Inanam dan Rufinah Pengeran akan mewakili Tulid.
Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ruji Ubi bakal bertanding bagi kerusi di DUN Merotai.
Api-Api yang dulu penyandangnya bekas pengerusi PH Sabah, Christina Liew, kini diwakili oleh Thonny Chee.
Antara calon lain yang akan bertanding adalah Awang Husaini Sahari (Petagas), Romansa Lamin (Segama) dan Abdul Said Pimping di DUN Gum-Gum.
