Irau Rayeh Lundayeh berlangsung Jun tahun depan

 

Gambar kenangan Tun Musa (enam dari kiri) bersama Ahli Persatuan Lundayeh Sabah.

KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Besar Lundayeh Sabah atau dikenali sebagai Irau Rayeh Lundayeh dijangka akan berlangsung pada Jun tahun depan.

Menurut Pengerusi Persatuan Lundayeh Sabah, Datuk Pengiran Lalung, sambutan yang diadakan secara dwitahunan itu akan diadakan di Daerah Sipitang.

“Setiap kali penganjuran akan membawa beberapa kelainan memandangkan sambutan ini disambut dua kali setahun dan kertas kerja juga akan dimajukan kepada pihak kerajaan negeri Sabah.

“Pesta ini akan mengetengahkan adat budaya kaum Lundayeh yang terdapat di beberapa kawasan di Sarawak, Indonesia dan Brunei selain di Sabah namun mempunyai rumpun sama hanya dibezakan dengan beberapa perkara yang dipengaruhi oleh budaya tempatan lain.

“Selain pertunjukan dari kaum Lundayeh, beberapa persembahan dari etnik-etnik yang terdapat di sekitar sempadan Sabah dan Kalimantan turut akan dipersembahkan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu.

Beliau turut memaklumkan antara lain tujuan kunjungan itu adalah bagi menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Tun Musa atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.

Menurut Pengiran, sehingga kini Persatuan Lundayeh Sabah mempunyai ahli lebih 1,000 orang dan dianggarkan 800 daripadanya berada di sekitar Sipitang.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama