KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan berkuat kuasa selepas beliau memaklumkan keputusan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ewon yang juga Presiden UPKO berkata, keputusan itu dibuat berasaskan prinsip dan perjuangan parti untuk menegakkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikembalikan kepada negeri itu.
“Pendirian AGC telah mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia berdasarkan dokumen asas seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.
“Sangat janggal untuk saya terus berada dalam Kabinet Persekutuan apabila pendirian AGC yang bertentangan dengan semangat dan hak 40 peratus Sabah ini kekal tidak berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini
Ewon berkata, beliau kekal dengan pendirian agar AGC tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah bagi melaksanakan hak tersebut.
Katanya, selama tiga tahun berada dalam Kabinet Persekutuan, beliau melihat pendekatan AGC terhadap isu hak Sabah itu tidak selari dengan prinsip perjuangan UPKO.
“Saya telah menyatakan bahawa saya tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
“Saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri untuk memaklumkan secara rasmi perletakan jawatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas ruang yang diberikan untuk memperjuangkan hak Sabah sepanjang berada dalam Kabinet Persekutuan.
Ewon turut memaklumkan akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan bagi membincangkan agenda Sabah First sebagai asas hala tuju parti itu.
