Maritim Malaysia tahan dua vesel nelayan langgar syarat lesen

 

LAHAD DATU: Dua vesel nelayan tempatan yang dikendalikan warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat lesen ketika beroperasi di perairan Tabawan, Kunak, Jumaat lalu.

Kedua-dua vesel itu dikesan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan anggota bot ronda Maritim yang menjalankan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0 di kawasan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata hasil pemeriksaan mendapati sebuah vesel pukat keliling dikendalikan lelaki warga Filipina berusia 43 tahun bersama hasil tangkapan ikan campur seberat 10 kilogram.

“Sebuah lagi vesel dikendalikan tiga warga Filipina berusia antara 16 hingga 30 tahun dengan hasil tangkapan kira-kira lapan kilogram. 

“Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua vesel terbabit menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, sekali gus melanggar Akta Perikanan 1985.

“Kes turut disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana gagal memaklumkan pertukaran tekong seperti yang disyaratkan dalam lesen bot.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha vesel yang ingkar syarat lesen, khususnya mereka yang beroperasi di zon larangan,” katanya.

Dzulfikhar berkata, peraturan jarak operasi itu penting bagi memelihara ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.

Beliau berkata, kedua-dua vesel bersama kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut, khususnya ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama