![]() |
| Timbalan Presiden Parti KDM Wetrom (kiri) bersama Pemangku Presiden Priscella Peter semasa ditemui media di Kota Kinabalu hari ini... |
KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini mengumumkan 39 calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undang (DU) Sabah ke-17, manakala satu lagi calon bagi kerusi Kemabong akan diumumkan esok, menjadikan keseluruhan 40 calon..
Timbalas presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda berkata, calon yang diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, akademik, peniaga dan anak muda, menggambarkan keseimbangan antara pengalaman serta tenaga baharu.
Wetrom menegaskan bahawa KDM kekal sebagai parti tempatan Sabah yang tulen, dan tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti luar.
“Kita adalah parti Sabah yang benar-benar lokal. Kita tidak pernah bertanding di luar Sabah dan KDM berdiri atas kekuatan sendiri serta mempunyai pendirian tetap,” katanya.
Menurutnya, sebarang keputusan mengenai kerjasama politik hanya akan dibuat selepas pilihan raya, berdasarkan persetujuan semua wakil rakyat parti itu.
Dalam pada itu, Wetrom turut menjelaskan bahawa struktur kepimpinan KDM bersifat inklusif dan pelbagai kaum, tidak hanya mewakili masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM) semata-mata.
“Dalam perlembagaan parti, kita terbuka kepada semua kaum. Di bawah presiden, terdapat tiga timbalan presiden — masing-masing mewakili masyarakat Kadazan-Dusun, Muslim Bumiputera dan Cina,” ujarnya.
Katanya, KDM turut menampilkan calon daripada masyarakat Tionghoa di beberapa kawasan seperti Tawau, Seri Tanjung, Tanjung Papat dan Elopura.
Sementara itu, Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, berkata sokongan akar umbi terhadap parti itu semakin kukuh hasil kerja keras jentera di seluruh negeri.
“Saya lihat rakyat di Melalap dan kawasan lain mahukan perubahan. Sokongan yang diberikan bukan semata-mata atas nama keluarga, tetapi kerana mereka percaya kepada perjuangan dan semangat baharu yang dibawa KDM,” katanya.
Priscella, yang juga anak kepada Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, menegaskan bahawa semangat anak muda menjadi kekuatan utama parti itu untuk terus memperjuangkan masa depan Sabah yang lebih sejahtera.
