KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 Juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita untuk melaksanakan pelbagai program selari Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah (PIPWS).
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita
(JHEWA) Sabah, Haslina Ismail berkata peruntukan yang disalurkan melalui
jabatan itu bukan sekadar angka tetapi merupakan kepercayaan, amanah dan
sokongan kerajaan kepada NGO Wanita Sabah yang memperjuangkan isu wanita, keluarga
dan masyarakat.
"Melalui peruntukan ini, lebih
daripada 100 program dirangka dan dilaksanakan di seluruh Sabah merangkumi
pelbagai fokus seperti pemberdayaan ekonomi dan keusahawanan wanita, kesihatan,
kesedaran mental serta kesejahteraan keluarga.
"Ini termasuk perpaduan,
pemeliharaan budaya seni dan warisan, kepekaan dan keterangkuman gender, hak
wanita dan undang-undang, sukan dan wanita, kesejahteraan alam sekitar serta
sains dan teknologi," katanya ketika berucap semasa Program Pemerkasaan
NGO Wanita Sabah Tahun 2025, pada Khamis.
Majlis tersebut disempurnakan dengan
kehadiran Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin yang turut
menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima terdiri daripada ibu tunggal.
Menurut Haslina, program tersebut
menjadi wadah penting merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui
jaringan NGO wanita yang aktif di seluruh negeri.
"Program hari ini juga memberi
fokus kepada peningkatan kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi,
penyelarasan program, serta pendekatan komunikasi yang lebih kreatif dalam
menjangkau masyarakat.
"NGO bukan sahaja melaksanakan
program kolaborasi bersama kerajaan, tetapi juga menjadi medium perantara
penting antara kerajaan dan komuniti, penyampai isu sebenar di lapangan serta
pemudah cara yang menjadikan intervensi kerajaan lebih efektif.
"Inilah erti kolaborasi antara NGO
dan kerajaan satu jaringan kerjasama yang sangat bernilai dan perlu
diteruskan,” ujarnya.
