KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membangunkan 10 depo baharu untuk
mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata
pekebun kecil getah di Sabah dijangka bakal menikmati pasaran yang lebih adil
dan pendapatan yang stabil.
“Depo ini menyediakan kemudahan
timbang, rekod dan pembayaran secara teratur.
“Sistem berpusat ini membolehkan
pekebun kecil memasarkan hasil mereka dengan cepat, selamat dan tidak lagi
perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
pada Program Santuni Pekebun Kecil Risda Negeri Sabah bertempat di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Menurut Zahid, langkah itu selaras
dengan Model Transformasi RISDA (MTR) 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada
pembentukan sistem pemasaran getah yang lebih telus dan kompetitif.
“Penyediaan infrastruktur ini
membolehkan 74,625 pekebun kecil di negeri ini, termasuklah 30,228 pekebun
kecil di bawah seliaan RISDA memasarkan hasil mereka dengan lebih cepat,
selamat dan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak tengah,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa operasi depo
tersebut akan diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB).
Selain itu, hal berkenaan dijangka
memainkan peranan penting dalam memantapkan ekosistem pemasaran getah negeri
melalui kerjasama strategik dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Kerjasama ini akan membantu
meningkatkan pendapatan pekebun kecil, memulihkan keyakinan terhadap pasaran
serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai negeri pengeluar getah yang
signifikan,” katanya.
Dalam pada itu, RISDA turut meluaskan akses perkhidmatan kepada pekebun kecil melalui Pusat Timbang dan Stor (PTS), Pemasaran Getah Bergerak (PGB) serta Program Pengeluaran Getah Negara (PETARA).
“Pembangunan pekebun kecil getah
memerlukan ekosistem lengkap meliputi produktiviti, pemasaran, logistik dan
pengurusan data, bukan semata-mata bantuan.
“Dengan komitmen semua pihak, kita
mampu memastikan pendapatan pekebun kecil berada pada tahap optimum,”
tambahnya.