Calon PH kerusi DUN Silam tarik diri tanding PRN17


KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan mengesahkan telah menarik diri dari bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Katanya, keputusan terbabit diambil setelah mengadakan perbincangan yang teliti bersama pihak kepimpinan tertinggi PH.

"Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah keputusan peribadi yang saya buat tanpa sebarang tekanan atau perundingan dengan pihak luar.

"Keputusan ini juga dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang demi menjaga hubungan baik dan keharmonian bersama-sama rakan kerjasama parti yang lain.

"Saya percaya bahawa perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti yang lain adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri kita.

"Walaupun saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, saya tetap komited dan akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan Silam khususnya, dan Lahad Datu amnya, akan sentiasa terjaga dan terbela," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata perjuangan untuk rakyat tidak pernah berhenti dan akan terus menyumbangkan bakti untuk membangunkan kawasan ini.

"Saya juga percaya sepenuhnya bahawa Kerajaan Madani akan terus komited bersama-sama wakil-wakil rakyat yang dipilih nanti untuk bersamasama membangunkan negeri Sabah yang kita sayangi ini," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama