Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu menunjukkan kegagalan Warisan memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Warisan yang ketika itu membentuk kerajaan negeri hasil kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sering menuduh Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan hak MA63, namun akhirnya tunduk kepada tawaran kadar yang amat kecil selepas 45 tahun tiada semakan kadar pemberian khas itu.
“Warisan melaungkan slogan ‘Sabah Ubah’ dan ‘Selamatkan Sabah’, tetapi semasa mereka berkuasa, kerajaan negeri pimpinan Warisan bersetuju menerima hanya RM53.4 juta, ini peningkatan kecil daripada RM26.7 juta yang ditetapkan sejak 1973.
“Keputusan itu jelas membuktikan Warisan gagal menunaikan amanah rakyat dan tidak layak digelar penyelamat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, keputusan menerima kadar itu dibuat secara rasmi oleh Jemaah Menteri Negeri Sabah dalam mesyuarat pada 16 Oktober 2019 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah kepada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 18 Oktober 2019.
Beliau berkata, selepas pertukaran kerajaan negeri pada September 2020, GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, segera mengambil langkah menarik balik persetujuan itu melalui surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 7 Disember 2020.
“Kerajaan GRS kemudian mengadakan rundingan semula dan berjaya menaikkan kadar pemberian khas kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
“Apabila terbentuknya Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan pada penghujung 2022, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan membolehkan kadar itu dinaikkan kepada RM300 juta bagi 2023, RM306 juta bagi 2024 dan meningkat lagi kepada RM600 juta bermula tahun 2025,” katanya.
Armizan menjelaskan, peningkatan kadar itu adalah pengaturan sementara (interim arrangement) dan tidak menjejaskan hak Sabah untuk terus menuntut formula penuh 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang ketika itu mengetuai kerajaan negeri, bersetuju menerima kadar RM53.4 juta sedangkan partinya mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan pusat.
“Presiden Warisan pernah menyebut beliau menjadikan Tun Dr Mahathir Perdana Menteri sebanyak dua kali. Jika benar mempunyai pengaruh sedemikian, mengapa tidak digunakan untuk menuntut hak sebenar Sabah?
“Kenapa perlu tunduk, kenapa perlu ‘chicken out’ dalam isu yang amat penting ini?” soal beliau.
Katanya, keputusan Warisan itu jelas menggambarkan parti berkenaan gagal mempertahankan hak Sabah dan lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding perjuangan rakyat negeri ini.
“Melihat kepada rekod sedia ada, persoalannya adakah Warisan benar-benar mahu ‘Selamatkan Sabah’ atau sebenarnya rakyat perlu ‘Selamatkan Sabah daripada Warisan’?” katanya.