PIS muktamadkan 70 kerusi, tekad tampil tanpa calon ‘recycle’

Presiden Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok (tengah) sewaktu ditemui wartawan selepas Pelancaran Manifesto PIS di Bukit Padang, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS) mengesahkan senarai 70 calon yang akan membawa panji parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, dengan baki tiga lagi dijangka dimuktamadkan sebelum penamaan calon.

Presiden PIS, Michel Alok, menegaskan semua calon yang diketengahkan adalah wajah baharu dan belum pernah menjadi wakil rakyat, sebagai bukti komitmen parti itu untuk membawa nafas segar serta menjauhkan diri daripada politik lama.

"Setakat ini, kita sudah ada 70 calon yang bersedia. Hanya tiga lagi memerlukan sedikit masa, dan saya yakin sebelum penamaan calon.

"Kita akan lengkapkan 73 kerusi untuk ditandingi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto Parti Impian Sabah (PIS) di Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Michel berkata, semua calon yang dipilih mewakili kepelbagaian rakyat Sabah dengan penyertaan daripada semua 11 etnik utama, termasuk golongan wanita dan belia.

"PIS menampilkan calon pelbagai peringkat umur ada yang muda, pertengahan dan berpengalaman.

"Yang penting, semua calon ini bukan ‘recycle’. Tiada bekas wakil rakyat. Mereka datang dengan semangat baharu dan tekad mahu berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Dalam majlis sama, PIS turut melancarkan manifesto bertemakan “Kekayaan Sabah untuk Rakyat Sabah", yang memberi tumpuan kepada pengagihan hasil negeri secara adil serta memperkukuh ekonomi rakyat tanpa bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.

"Manifesto ini bukan janji bulan dan bintang. Ia disusun berdasarkan kemampuan sebenar Kerajaan Negeri Sabah.

Segala pelan tindakan yang kita bentangkan adalah praktikal dan boleh dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan negeri," katanya lagi.

Michel turut menegaskan bahawa PIS akan bertanding secara solo pada PRN kali ini, namun terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti tempatan selepas pilihan raya bagi merealisasikan impian rakyat Sabah.

"Selepas PRN, saya akan mengajak semua presiden parti tempatan duduk semeja untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat Sabah. Fokus kita satu memastikan impian dan harapan rakyat Sabah menjadi kenyataan,” tegasnya.

Beliau yakin PIS mampu menjadi pilihan utama rakyat dalam PRN akan datang, dengan menawarkan alternatif kepimpinan baharu yang bersih, progresif dan berjiwa rakyat.

"Rakyat Sabah kini mahukan perubahan. Mereka mahu parti baharu, pemimpin baharu dan budaya politik yang segar. Saya percaya PIS mampu mencipta gelombang itu," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama