PAPAR: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menyifatkan dakwaan Presiden Parti Warisan bahawa isu bekalan air di negeri ini mampu diselesaikan dalam tempoh setahun sebagai tidak realistik dan hanya janji politik semata-mata.
Beliau berkata, masalah air di Sabah merupakan isu legasi yang telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan perancangan serta pelaksanaan projek berskala besar yang tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Astagfirullahaladzim...Kalau satu tahun, patutnya masa dia berkuasa pada 2018 dulu sudah selesai.
“Kalau dia ada formula atau lampu ajaib, ada jin boleh tolong, mungkin boleh siap satu tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Jentera Dewan Terbuka PGRS DUN Limbahau, di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Papar berkata ketika Warisan menerajui kerajaan negeri pada 2018, tiada sebarang projek besar dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah air.
“Projek Logi Rawatan Air Kogopon-Papar ini misalnya, keperluan untuk meningkatkan kapasiti sudah dibincang lebih 10 tahun, tapi mereka tidak buat. Siapa yang buat sekarang? Kerajaan GRS
“Tapi, Kita tidak tipu rakyat. Ini projek besar, ambil masa tiga tahun. Sekarang sudah dua tahun selepas pecah tanah pada Ogos 2023, jadi tinggal satu tahun lagi untuk siap.
“Betullah kalau dia kata boleh siap dalam setahun. Tapi, siapa yang laksanakan? Kerajaan GRS. Siapa pejuangnya? Datuk Juil Nuatim,”jelasnya.
Beliau menyifatkan kerjasama bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memainkan peranan penting dalam memastikan projek berkenaan dapat diteruskan melalui pembiayaan pinjaman (soft loan) daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita bekerja keras untuk dapatkan peruntukan itu supaya masalah air di Sabah benar-benar dapat diselesaikan,” tambahnya.
Terdahulu, Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal menyatakan bahawa jika partinya diberikan peluang untuk mentadbir Sabah sekali lagi, beliau memberi jaminan bahawa masalah bekalan air dapat diselesaikan dalam masa setahun.