Warisan janji selesai isu air Sabah dalam setahun jika diberi peluang tadbir negeri

 

TAWAU: Parti Warisan (WARISAN) berjanji untuk menyelesaikan isu bekalan air yang berlarutan di Sabah dalam tempoh setahun sekiranya kembali diberi mandat mentadbir kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata masalah air di negeri itu sudah terlalu lama membelenggu rakyat.

Katanya, masalah itu perlu diselesaikan dengan segera melalui pentadbiran yang cekap, berkemampuan serta memahami keperluan sebenar rakyat.

“Sekiranya Warisan kembali menjadi kerajaan, langkah pertama yang akan diambil ialah menumpukan kepada penyelesaian masalah asas termasuk isu bekalan air, jalan raya dan elektrik di seluruh Sabah.

“Masalah air di Sabah, saya akan selesaikan tidak sampai satu tahun. Bukan satu hari, bukan satu bulan, tetapi dalam jangka masa setahun saya akan selesaikan masalah air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Slogan dan Logo Baharu WARISAN sempena PRN Ke-17 di Tawau, semalam.

Menurutnya, kerajaan yang cekap dan berkemampuan bukan sekadar bergantung kepada syarikat luar untuk menyelesaikan masalah rakyat

Shafie berkata, kerajaan perlu mempunyai perancangan jelas serta keupayaan melaksanakan projek pembangunan dengan lebih berkesan.

“Kita tidak mahu kerajaan yang hanya tahu melantik syarikat bagi menyelesaikan masalah jalan, air dan elektrik.

“Kita mahu kerajaan yang boleh bekerja dan mempunyai kebolehan melaksanakan tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Warisan akan memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan prasarana asas di negeri ini, terutama di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas.

“Apabila kita jadi kerajaan nanti, segala dana yang digunakan akan dipastikan sampai kepada rakyat. Duit itu akan digunakan untuk membina prasarana di bumi Sabah termasuk jalan raya, elektrik dan air,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama