![]() |
Ruddy (tengah) sewaktu ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar di Kampung Taka, Pitas |
PITAS: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Datuk Seri Ruddy Awah sebagai calon rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.03 Pitas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ruddy, yang juga penyandang kerusi berkenaan, sebelum ini memenangi DUN Pitas sebagai calon bebas dengan majoriti 559 undi.
Namun, kali ini beliau turun gelanggang di bawah panji GRS dengan keyakinan mempertahankan mandat rakyat.
"Pada saya, sememangnya saya sudah bersedia pun seawalnya… daripada peralatan, baju, bendera semua sudah tersedia.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberi kepercayaan sekali lagi. Saya janji akan pastikan DUN Pitas ini kita pertahankan dan hadiahkan kepada kerajaan serta rakyat Sabah,” katanya.
Ruddy menegaskan, penglibatan dalam GRS memberi kekuatan lebih besar berbanding bertanding secara sendirian.
"Dengan kekuatan gabungan bersama, sudah pasti ia menampakkan lebih sokongan berbanding saya berjalan secara bersendirian.
"Syukur kepada Tuhan, hari ini saya diumumkan sebagai calon GRS, dan saya akan bekerja memastikan kemenangan," katanya lagi.
Ruddy turut menegaskan bahawa penyertaan beliau dalam GRS akan memastikan suara rakyat Pitas lebih kuat dalam arus pembangunan negeri.