KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited menangani isu bekalan air di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai projek jangka pendek dan panjang yang sedang giat dilaksanakan di seluruh Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam mencari penyelesaian terhadap masalah itu, sebaliknya sudah melaksanakan pelbagai projek yang kini menunjukkan hasil nyata.
“Baru-baru ini ada yang cerita kononnya boleh selesaikan isu air dalam masa setahun saja, yang bermaksud pada tahun 2026 sudah boleh diselesaikan.
“Saya fikir mungkin yang dimaksudkan itu adalah antara projek yang memang sedang dilaksanakan oleh kerajaan GRS selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji berkata, antara projek utama yang sedang dalam pelaksanaan ialah Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon II Papar yang dijangka siap pada 2026, Empangan Cinta Mata Tawau yang dijangka siap Julai 2026 serta Empangan Hidro Ulu Padas dan Skim Bekalan Air Ulu Padas yang dijangka siap pada 2030 sebagai penyelesaian jangka panjang dengan kapasiti sehingga 6,000 juta liter sehari (MLD).
Selain itu, katanya, Loji Rawatan Air Telibong II Fasa II juga sudah siap dan beroperasi, manakala beberapa projek lain termasuk Sistem Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Pitas, Lahad Datu, Semporna, serta naik taraf lima tangki simpanan Sandakan dijangka siap pada 2026.
“Projek muka sauk baharu di Limbahau dijangka siap pada 2027, sementara LRA Banggi pula dijangka siap antara tahun 2028 hingga 2029,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga telah menyiapkan beberapa projek besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai bukti nyata bahawa isu air tidak diabaikan seperti didakwa sesetengah pihak.
“Antara projek yang sudah siap ialah menaik taraf LRA Simoangan, Kota Marudu (Mac 2023), LRA Kundasang (November 2023), UWSS LRA Telibong I dan II (2023 dan 2024), LRA Kasigui (Ogos 2025), LRA Beaufort II (2021), BALB LRA Dewata Lahad Datu (2024), LRA Semporna (2021), LRA Apin-Apin, Keningau (2022) dan Loji Rawatan Air Ulu Mamut, Ranau (2025).
“Saya tahu ada yang petik nama saya setiap hari tanya kenapa projek air lambat siap. Tapi kita tiada kayu sakti bukan hari ini cakap, esok terus siap. Namun, inilah antara projek yang sedang dan telah kita laksanakan untuk memastikan rakyat Sabah menikmati bekalan air bersih secara menyeluruh,” katanya.
Hajiji menegaskan, pelaksanaan setiap projek air memerlukan perancangan teliti, proses teknikal yang kompleks dan tempoh masa tertentu sebelum dapat disiapkan sepenuhnya.
“Kita tidak mahu buat janji kosong. Apa yang kita laksanakan ini adalah perancangan realistik dan mampan supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam jangka panjang,” katanya.
Namun, Hajiji berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS tidak sekadar berjanji, sebaliknya terus membuktikan keprihatinan melalui tindakan di lapangan.
“GRS tidak hanya bercakap, tetapi bekerja untuk memastikan setiap rakyat Sabah mendapat akses kepada bekalan air bersih dan mencukupi,” katanya.
Terdahulu, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam ucapannya baru-baru ini berkata mampu menyelesaikan masalah air di Sabah dalam tempoh setahun sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.