Warga JAPEN Sabah diseru kekalkan semangat kerja berpasukan

Jainisah ketika menyampaikan ucapan.
KOTA KINABALU : Warga Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah diseru agar terus mengekalkan semangat kerja berpasukan dan saling menyokong antara satu sama lain.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang tahun ini merupakan hasil usaha dan komitmen bersama seluruh warga jabatan di semua peringkat.

"Alhamdulillah, sekalipun banyak perkara yang telah dilaksanakan, semua ini dapat dijayakan kerana kita  melaksanakannya bersama-sama.

"Saya mengharapkan semangat kerja berpasukan dan sokongan seluruh warga JAPEN Sabah ini akan terus berkekalan bukan sahaja pada tahun ini bahkan lebih baik lagi pada tahun hadapan.

"Kalau kita lihat, banyak program yang berjaya dilaksanakan termasuk 5,180 video Komuniti Madani dari Februari hingga Oktober tahun ini, 2,626 liputan media dan ribuan Program Jiwa Komuniti Madani di seluruh negeri.

"Semuanya menunjukkan semangat kerja berpasukan yang kuat dan kesungguhan warga JAPEN dalam memastikan tanggungjawab kita dapat dilunaskan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JAPEN Sabah yang diadakan di Lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Pejabat Penerangan Daerah (PPD) atas komitmen dan kesediaan melaksanakan tugasan walaupun berdepan pelbagai cabaran di lapangan.

"Kerjasama erat antara PPD dan pasukan di ibu pejabat membolehkan setiap perancangan jabatan berjalan dengan lancar sepanjang tahun ini," tambahnya.

Jainisah menegaskan, kekuatan sebenar jabatan terletak pada perpaduan dan kerjasama antara semua warga kerja yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.

“Perhimpunan bulanan seperti ini bukan sekadar formaliti, tetapi ruang untuk kita berkumpul, bertukar pandangan dan mengeratkan hubungan sesama warga jabatan,” ujarnya.

Menurut beliau, semangat kebersamaan dan kepercayaan yang dibina dalam kalangan warga JAPEN Sabah perlu dikekalkan bagi memperkukuh perpaduan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Majlis turut meraikan Timbalan Pengarah Penerangan, Supian Musa yang dilantik sebagai Pengarah Penerangan Negeri Sembilan berkuatkuasa 13 Oktober ini.

Terdahulu, Jainisah turut mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam yang disertai oleh Pegawai-pegawai Perhubungan Awam di bawah JAPEN dari seluruh negeri.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama