KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menampilkan wajah baharu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor apabila menamakan Razzidin Robert, anak kepada penyandang kerusi itu, Datuk Robert Tawik, sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Razzidin yang juga Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR, diumumkan bakal bertanding di kerusi yang sebelum ini disandang oleh bapanya, sekali gus menandakan kesinambungan kepimpinan STAR di kawasan berkenaan.
Ketua Exco Wiramuda STAR, Jordan Jude Ellron, dalam kenyataannya mengucapkan tahniah kepada Razzidin atas pemilihan itu sambil menyatakan keyakinan terhadap kemampuan beliau untuk mempertahankan kerusi Bingkor.
“Tahniah kepada Razzidin Robert yang dipilih menjadi calon N.40 Bingkor atas tiket STAR.
"Saya yakin beliau mampu memberikan kemenangan penting kepada STAR Sabah,” katanya.
Jordan turut menyeru pengundi di Bingkor supaya memberi sokongan padu kepada calon muda itu yang disifatkan berwibawa, berprinsip dan dekat dengan suara generasi baharu.
“Sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda, beliau menunjukkan komitmen tinggi terhadap perjuangan parti dan tekad untuk membawa perubahan positif kepada rakyat luar bandar,” katanya lagi.
Sebelum ini, Datuk Robert Tawik bersama empat lagi ADUN STAR iaitu Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid) mengumumkan sokongan mereka kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pemilihan Razzidin sebagai calon di kerusi yang pernah disandang bapanya itu dilihat sebagai langkah STAR memperkukuh pengaruh di kawasan pedalaman serta memberi ruang kepada generasi muda meneruskan kesinambungan kepimpinan parti.