KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dalam kenyataan media bersama hari ini, mereka berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kepentingan rakyat serta keperluan mengekalkan dasar pembangunan yang telah dilaksanakan di bawah kerajaan GRS sebelum ini.
“Keputusan besar ini dibuat demi memberi keutamaan kepada kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini,” menurut kenyataan bersama itu.
Lima ADUN berkenaan ialah Datuk Ellron Alfred Angin, Datuk Robert Tawik @ Nordin, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Annuar Ayub dan Datuk Flovia Ng.
Menurut mereka, pendirian untuk terus berdiri teguh bersama GRS dan mempertahankan kerusi masing-masing atas lambang gabungan itu mencerminkan kesetiaan terhadap mandat rakyat serta komitmen untuk memastikan pembangunan negeri terus bergerak ke hadapan.
“Kami percaya kestabilan politik adalah asas penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Keputusan lima ADUN STAR itu turut dilihat sebagai isyarat keyakinan terhadap kepimpinan GRS dalam meneruskan agenda pembangunan yang mampan dan inklusif untuk seluruh rakyat Sabah.