UPKO sedia bertanding di DUN Melalap pada PRN17- Ewon

 

Ewon ketika berucap dalam perasmian Konvensyen UPKO Tenom 2025 bertempat di Dewan Seri Panglima Antanom - ihsan UPKO.

TENOM: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, mengumumkan bahawa parti itu sedia bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke17 (PRN17) Sabah.

Susulan itu, Ewon menyeru agar semua anggota parti dan gabungan parti Kerajaan Perpaduan supaya memberikan sokongan padu kepada calon UPKO di DUN Melalap bagi memastikan kemenangan gabungan kerajaan.

“Kehadiran saya pada hari ini adalah tanda sokongan penuh kepada UPKO Tenom. Pilihan raya negeri ini penting untuk memilih kerajaan Sabah. 

"UPKO bersama PH sudah pun menjadi kerajaan Persekutuan, maka pilihlah wakil rakyat daripada parti yang mewakili kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen UPKO Tenom 2025 bertempat di Dewan Seri Panglima Antanom, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajit.

Dalam pada itu, Ewon turut berkata kelebihan wakil rakyat daripada parti kerajaan ialah mereka boleh menguruskan agenda pembangunan untuk kawasan masing-masing.

“Oleh itu, wakil rakyat Melalap harus datang daripada parti kerajaan, iaitu UPKO yang kini sudah berada dalam kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, rakyat Melalap juga harus memilih wakil rakyat tempatan kerana hanya pemimpin tempatan benar-benar memahami cabaran dan isu masyarakat setempat.

“UPKO mahu identiti kepimpinan Melalap dikembalikan seperti sebelum ini, iaitu yang dapat menjiwai nadi rakyat termasuk demografi di kawasan ini,” katanya.

Ewon yakin UPKO mempunyai peluang cerah untuk menang di Melalap kerana parti itu mempunyai sejarah panjang di kawasan ini sejak era penubuhan Malaysia pada 1960-an, selain telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber.

“Kali ini, kita mahu melahirkan seorang ADUN Melalap daripada UPKO. Mudah-mudahan dalam pilihan raya ini, kita seiring dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ewon turut menegaskan bahawa pemimpin Sabah di peringkat Persekutuan bukanlah “agen Malaya” seperti dakwaan segelintir pihak, sebaliknya mereka adalah “agen Sabah” yang memperjuangkan kepentingan negeri dalam kerajaan Persekutuan.

“Sebaik sahaja saya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah melaksanakan Dasar Pandang ke Timur dalam negara dalam perspektif KUSKOP, iaitu memberi tumpuan tambahan kepada Sabah dan Sarawak tanpa mengabaikan negeri-negeri lain.

“Antara inisiatif yang saya perkenalkan ialah projek Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan pelbagai program lain khusus untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut mencabar parti-parti tempatan lain supaya menyatakan pencapaian mereka terhadap Sabah ketika berada dalam kerajaan Persekutuan.

Disamping itu, beliau turut menegaskan bahawa UPKO sebagai parti tempatan akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk di Melalap dan Kadamaian.

“Saya telah menunjukkan kepada calon-calon UPKO tanggungjawab sebagai presiden. 

"Rakyat memerlukan kepimpinan berwajah baharu yang berprestasi, berdedikasi dan mempunyai identiti kepimpinan Sabah. Teruskan berkhidmat dan bekerja untuk rakyat Melalap,” tegasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama