GRS, PH kekal bekerjasama hadapi PRN-17 – Hajiji

 

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, sekali gus mengekalkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata agihan kerusi antara kedua-dua gabungan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat melalui perbincangan bersama, dengan semangat saling menghormati dan matlamat untuk memastikan kemenangan kerajaan perpaduan di Sabah.

“Agihan kerusi ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, dan tentu sekali apabila kita bekerjasama dengan rakan kita dalam PH.

“GRS akan menyokong sepenuhnya rakan-rakan kita yang bertanding di bawah gabungan kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini, hari ini.

Hajiji berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu diteruskan demi kestabilan dan kemajuan negeri.

“Sekarang ini kerajaan negeri ialah kerajaan GRS–PH. Hubungan kita dengan kerajaan Persekutuan amat baik, dan hasilnya kita telah menerima sembilan penurunan kuasa di bawah tuntutan MA63 semasa pentadbiran PMX.

“Ini membuktikan bahawa hubungan baik antara negeri dan Persekutuan perlu dipelihara. Untuk masa depan Sabah, untuk kemajuan Sabah, kita tidak boleh bermusuh dengan kerajaan Persekutuan kerana kerajaan itu juga kerajaan kita,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja penting untuk kestabilan politik, tetapi juga memastikan dasar dan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

“Di samping kita menuntut dan mempertahankan hak negeri, kita juga mesti menjaga kepentingan negara. Tidak boleh kerana terlalu menjaga kepentingan negeri, kita pula merosakkan kepentingan negara. Itu tidak betul,” katanya.

Mengulas kedudukan parti-parti komponen lain, Hajiji mengesahkan bahawa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Sabah Progressive Party (SAPP) kini tidak lagi bersama GRS selepas memutuskan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN kali ini.

“Kalau mereka sudah keluar dan guna logo sendiri, maka mereka bebas meletakkan calon di mana-mana kawasan yang mereka mahu. 

“Sudah tentu akan berlaku pertandingan di beberapa kerusi dengan calon GRS,” katanya.

Namun, beliau mengesahkan beberapa bekas wakil rakyat STAR yang hadir dalam majlis itu tetap menyatakan sokongan mereka terhadap GRS.

“Mereka sudah nyatakan kepada saya bahawa mereka masih menyokong GRS,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kekal bersama GRS dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh sokongan di kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR).

“Kita amat yakin dengan PBS. Pengaruh dan kekuatan mereka cukup besar dan akan membantu GRS dalam memastikan kemenangan di kawasan KDMR,” katanya.

Mengulas mengenai prosedur selepas pembubaran DUN, Hajiji menjelaskan kerajaan negeri kini berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker) sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN-17.

“Ini perkara biasa. Sehingga kerajaan baharu dilantik, Ketua Menteri sedia ada masih berfungsi sebagai caretaker Ketua Menteri,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa GRS kekal berpegang kepada prinsip kerjasama, kestabilan dan keutuhan gabungan demi memastikan Sabah terus maju dan rakyat terus menikmati hasil pembangunan yang telah dirancang.

“Kerjasama GRS dan PH ini bukan semata-mata soal politik, tetapi demi memastikan kestabilan dan kesinambungan pembangunan untuk Sabah. Inilah masa untuk kita bersatu dan membawa Sabah ke hadapan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama