KOTA KINABALU: Jentera pilihan raya perlu berdisiplin, tersusun dan fokus kepada matlamat besar parti bagi memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi, berkata kekuatan sebenar jentera bukan diukur melalui keaktifan atau populariti, sebaliknya pada kemampuan menggerakkan strategi dan memastikan setiap undi berpihak kepada GRS.
“Pilihan raya hanya datang sekali dalam lima tahun dan kalau kita terlepas peluang, kita kena tunggu lagi lima tahun.
“Jadi, kita perlu fokus kepada matlamat besar dan bersatu hati, insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada kita,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Pengukuhan Jentera Gagasan Rakyat Darau, hari ini.
Razali yang juga Setiausaha Agung Gagasan Rakyat mengingatkan semua ahli dan penyokong supaya tidak terlalu selesa dengan imej keaktifan atau pujian semata-mata.
“Kita perlu menumpukan perhatian kepada jumlah undi sebenar yang boleh diperoleh di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kita dilihat aktif dan kuat, betul. Tapi jangan syok sendiri kerana yang penting bukan tepukan atau pujian, tetapi undi sebenar yang akan menentukan kemenangan,” katanya
Beliau turut menasihatkan jentera agar bergerak secara sistematik dan menyeluruh, termasuk mengenal pasti pengundi yang belum didekati serta memperkukuh kempen akar umbi.
“Malam di kedai kopi bukan masa untuk bercerita hal orang, tapi masa untuk cari undi. Rajin belum tentu menang, kemenangan hanya datang dengan undi sebenar daripada 33,000 pengundi di Darau.
“Semua jentera perlu mematuhi arahan Pengarah Pilihan Raya Bahagian supaya setiap gerak kerja dilaksanakan dengan lebih teratur dan berdisiplin.
“Kalau mahu menang, perlu fokus kepada GRS dan itu yang kita bawa ke setiap pelosok kampung,” katanya.
Razali turut menyenaraikan beberapa kawasan tumpuan termasuk Kampung Likas, Bangka-Bangka, Rampayan, Darau, Kalansanan, Warisan dan Kemberian, yang disifatkan sebagai benteng kekuatan Gagasan Rakyat di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah di media sosial sebaliknya kekal turun padang mendekati rakyat.
Menurutnya, jangan terpengaruh dengan TikTok atau Facebook. Yang benar ialah mereka yang turun ke kampung, mendengar dan membantu rakyat.
“Kemenangan hanya akan dicapai melalui kekuatan akar umbi, keikhlasan berkhidmat dan keberkatan Allah SWT.
“Kalau kita bersatu dengan niat yang ikhlas, berjuang dengan penuh semangat dan memohon keredaan Allah, insya-Allah Darau akan menjadi milik kita,” katanya.