![]() |
| Zahid bergambar kenangan di Pantai Odec, UMS. |
KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) kini muncul sebagai teras utama dalam memperkasa belia Sabah ke arah pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Sabah mempunyai hampir 900,000 belia dengan lebih separuh daripadanya menetap di kawasan luar bandar.
"Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah digerakkan bagi membina laluan yang jelas kepada golongan muda untuk menguasai kemahiran industri masa depan.
“Peluang yang diberikan melalui TVET adalah penting untuk memperkasakan belia sebagai agen perubahan dan memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Kita membuka ruang kepada anak muda untuk meneroka pelbagai industri penting iaitu daripada semikonduktor kepada tenaga hijau, ekonomi digital hinggalah ke bidang pertanian pintar.
“Ini termasuk bidang berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif elektrik, keselamatan siber dan teknologi kecerdasan buatan (AI),” ujarnya semasa merasmikan Project Next Gen-Z (PNGZ) Tour @ Sabah: Mooda Desa X PNGZ, pada Sabtu.
Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menjelaskan hasil daripada usaha tersebut, kadar kebolehpasaran graduan TVET Malaysia kini mencecah 95.1 peratus.
"Pada tahun 2024, lebih 53.5 peratus pelajar lepasan sekolah memilih aliran TVET sebagai laluan pendidikan mereka.
"Ini lambang perubahan paradigma bahawa TVET bukan lagi dianggap pilihan kedua, tetapi pilihan utama masa depan,'' ujarnya pada program yang dihadiri 5,000 individu itu.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
