RM52 Bilion peruntukan pembangunan keusahawanan, MARA terajui usaha - Zahid

 

Zahid (empat dari kiri) menyampaikan cek cura Kemudahan Pembangunan Usahawan MARA Putatan kepada Hanizah( tiga dari kanan) bernilai RM67 000.

PUTATAN:  Sebanyak RM52 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun 2025 untuk pembangunan keusahawanan merangkumi 17 kementerian dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan utama dalam inisiatif tersebut.  

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat lebih 1.2 juta usahawan mikro, 450,000 usahawan kecil dan 150,000 usahawan sederhana di seluruh negara yang dibimbing melalui pelbagai program kementerian serta agensi berkaitan.

“Peruntukan MARA sahaja mencecah RM4 bilion, hampir menyamai bajet sebuah kementerian. Ini membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan usahawan.

"MARA kini melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh dengan memberi kursus sebelum pinjaman diluluskan, menjalankan penyeliaan serta tindakan susulan bagi memastikan setiap usahawan yang dibantu mencapai kejayaan sebenar.

“Kita tidak mahu hanya melihat kuantiti penyertaan yang ramai, tetapi memastikan kualitinya meningkat agar usahawan kita benar-benar mampu berkembang dan berdikari,” katanya ketika merasmikan Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Putatan Sabah, pada Sabtu.

Zahid turut menjelaskan tentang potensi besar industri halal yang dianggarkan mencecah AS$3 trilion menjelang 2025 dan meningkat kepada AS$5 trilion pada 2030, sekali gus membuka peluang luas kepada usahawan tempatan.

“Produk halal bukan hanya untuk orang Islam, tetapi diterima di seluruh dunia kerana standard kebersihan dan kualitinya. Inilah peluang yang perlu direbut oleh usahawan mikro dan wanita," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata program Pemerkasaan Wanita MARA dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) telah dilaksanakan di lapan bahagian di Sabah. 

“Program ini bukan sahaja membantu mereka memulakan perniagaan (startup), tetapi juga mengembangkan dan mengekalkan perniagaan sedia ada (scale up).

"MARA kini tidak lagi hanya memberi pembiayaan, tetapi memastikan setiap bantuan memberi impak sebenar kepada pembangunan perniagaan,” jelasnya.

Asyraf menambah, MARA memberi tumpuan kepada tiga bidang utama untuk wanita iaitu pembangunan usahawan, pengembangan pasaran domestik dan antarabangsa, serta pengukuhan agenda halal melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama