KOTA KINABALU: Seorang wanita yang disyaki mencuri dompet milik pelanggan di Pasaraya Emart Lintas Jaya, di sini, kini diburu polis selepas aksinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada mangsa.
“Mangsa hanya menyedari dompetnya hilang ketika sedang membuat pembayaran di kaunter pasar raya berkenaan.
“Dompet itu disimpan dalam beg sandang dan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit Public Bank serta wang tunai RM400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rakaman CCTV mendapati seorang wanita mengambil dompet mangsa tanpa disedari sebelum menggunakan kad kredit berkenaan untuk membeli kipas angin di tingkat satu pasar raya itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan suspek terbabit,” katanya.
Beliau meminta orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita itu supaya segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, Kasim turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap barangan peribadi, terutama ketika berada di tempat awam bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
