SEMPORNA: Satu video tular di media sosial memaparkan pasangan pelancong warga China mendakwa mereka ditipu ketika membeli makanan laut (Lobster) di sebuah pasar di sini.
Video berkenaan dikongsikan oleh pengguna akaun TikTok bernama FanTeXi, yang meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa telah diperdaya oleh seorang penjual udang galah (lobster) di pasar berkenaan.
“Saya membeli makanan laut di Semporna, Malaysia, tetapi ditipu apabila saiz udang itu ditukar,” katanya dalam video tersebut yang dimuatnaik semalam.
Menurutnya, kejadian bermula ketika beliau ingin membuat pembayaran menggunakan wang tunai, namun penjual mendakwa wang tersebut adalah palsu.
“Selepas saya menyerahkan wang itu, mereka mengatakan duit saya palsu. Sedangkan semua wang tunai yang saya gunakan adalah wang RM50 yang saya keluarkan dari mesin ATM di lapangan terbang,” jelasnya.
Tambahnya, beliau kemudian menyedari telah ditipu apabila mendapati udang galah yang diterima jauh lebih kecil daripada saiz yang dipilihnya sebelum itu.
“Tiada masalah dengan wang itu, mereka yang silap.
“Tetapi saya dapati udang galah itu jauh lebih kecil daripada yang saya pilih, lalu saya segera mengambil semula wang saya.
“Berhati-hatilah ketika membeli makanan laut di pasar ini,” tambahnya.
