![]() |
| Rizwandean (peguam ibu arwah Zara), sewaktu ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. |
KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau semula peristiwa kelam sewaktu menjadi pelajar junior di asrama yang sama dengan arwah.
Saksi ke-16 yang merupakan pelajar senior menceritakan kepada Mahkamah Koroner bahawa dia pernah menjadi mangsa Mesyuarat Asrama 'MA' pertemuan tidak rasmi yang dilakukan pelajar senior secara beramai-ramai terhadap pelajar junior.
Menurutnya, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam hingga ke hari ini kerana selepas insiden tersebut, dia sering disindir dan diejek oleh pelajar senior setiap kali bertembung di kawasan sekolah.
"Mereka memanggil saya ‘Jibam’, bermaksud kaki-report, hanya kerana saya seorang pengawas yang selalu merampas telefon bimbit pelajar yang dibawa ke sekolah,” katanya dalam keadaan sebak ketika memberi keterangan di hadapan Koroner hari ini.
Saksi turut berkongsi pemerhatiannya bahawa sikap pelajar senior terhadap junior sering menjurus kepada tindakan kasar.
Termasuk memarahi dan memaki dengan kata-kata kesat. Katanya, budaya tuduh-menuduh dan menyerbu pelajar junior tidak sepatutnya berlaku di asrama.
"Pelajar senior sepatutnya tunjuk contoh baik, tapi mereka kerap maki junior dengan perkataan kesat seperti ‘bodoh’, ‘anjing’ dan ‘sial’. Saya pernah nasihat mereka tapi tetap tidak berubah,” katanya.
Saksi itu juga mengakui pernah mendengar tohmahan kononnya Zara mencuri, namun menegaskan bahawa arwah bukan pelajar bermasalah malah dikenali sebagai seorang yang ceria, aktif dan suka membantu orang lain.
Menurutnya, selepas insiden kematian Zara, barulah warden dilihat lebih aktif menjalankan pemeriksaan di asrama, sedangkan sebelum itu pemantauan jarang dilakukan.
Sementara itu, saksi ke-17 yang juga rakan sebilik arwah memberitahu, pada malam kejadian 15 Julai lalu, dia melihat Zara berada di dalam bilik asrama duduk di lantai berhampiran almari sebelum tidur.
Saksi menggambarkan Zara sebagai pelajar yang periang, berdisiplin dan bercita-cita menjadi pengawas.
Selain itu, saksi turut memaklumkan tidak pernah melihat arwah terlibat dalam sebarang konflik atau diganggu oleh sesiapa.
Pada 16 Julai yang lepas, Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang bangunan asrama sekolahnya sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Prosiding akan bersambung semula esok untuk mendengar keterangan dua saksi kanak-kanak seterusnya.
