SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna mengenakan kompaun berjumlah RM900 terhadap tiga peniaga di Pasar Ikan Semporna selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga bagi jualan Udang Kara (Lobster).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Semporna, Satunlucy bin Lamioh, berkata tindakan itu diambil hasil Operasi Bersepadu yang dijalankan hari ini susulan aduan tular di media sosial mengenai dakwaan penipuan harga melibatkan pelancong dari China.
Bagaimanapun, katanya, siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku enam bulan lalu dan hanya dikongsi semula oleh laman sosial Sabah Info pada 21 Oktober lalu.
“Walaupun insiden itu bukan baharu, atas keprihatinan KPDN untuk melindungi pengguna dan pelancong, kami tetap menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama penguatkuasa Majlis Daerah Semporna itu turut memeriksa 40 premis perniagaan di sekitar pasar berkenaan.
Satunlucy bin Lamioh menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melanggar peraturan, terutama yang menjejaskan imej daerah pelancongan seperti Semporna.
“Peniaga perlu beretika dan mematuhi perundangan yang ditetapkan kerajaan. Kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan pelancong terhadap industri tempatan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai di daerah itu agar menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan harga atau gangguan bekalan menerusi saluran rasmi KPDN seperti talian aduan 1-800-886-800, aplikasi EzADU atau portal e-Aduan.
