Polis rampas syabu bernilai RM1.48 juta di Semporna

 

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup dan mengedar dadah jenis syabu bernilai RM1.484 juta berjaya dipatahkan dalam operasi di Jalan Kampung Air, di sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga asing ditahan selepas dikesan menolak troli berisi empat kotak besar berwarna coklat yang disyaki mengandungi dadah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata pemeriksaan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menemukan 45 bungkusan syabu seberat 46.4 kilogram di dalam kotak berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.484 juta dan jumlah dadah ini mampu menampung keperluan seramai 350,000 penagih untuk sekali guna,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun itu merupakan warga Filipina tanpa dokumen pengenalan diri dan menetap di Pulau Pababag, Semporna.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Perintah reman telah diluluskan sehingga 26 Oktober ini,” katanya.

Jauteh berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa dari Kota Kinabalu sebelum cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui laluan laut tidak rasmi di perairan Semporna.

Susulan penahanan itu, katanya, polis turut menahan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 35 tahun di sebuah rumah tanpa nombor di Pulau Denawan, dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama.

“Tiada rampasan dalam serbuan kedua, namun penahanan suspek kedua penting kerana dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan penghantaran bungkusan syabu tersebut,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan, sekali gus membantu JSJN menggagalkan cubaan pengedaran besar-besaran itu.

“Polis Sabah akan terus memperketat kawalan serta meningkatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah khususnya di kawasan perairan pantai timur negeri ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama