|  | 
| Norlijah (tengah) bergambar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). | 
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 sebagai langkah memperkukuh usaha perlindungan alam sekitar demi kelestarian masa depan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, enakmen baharu itu bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan alam semula jadi, malah memastikan hak karbon kekal menjadi milik negeri.
"Antara komponen penting enakmen tersebut adalah penubuhan Majlis Tindakan Iklim Sabah sebagai badan pembuat keputusan tertinggi dalam menangani isu perubahan iklim di negeri ini," katanya.
Selain itu, Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim turut diperkenalkan bagi menjejak dan memantau pelaksanaan projek karbon di Sabah manakala Dana Iklim Sabah diwujudkan untuk menyokong usaha penyesuaian serta meningkatkan daya tahan terhadap kesan perubahan iklim
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norlijah Danin semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Jantung Hijau Borneo: Memperkukuh Ketahanan Iklim, Pemuliharaan dan Mata Pencarian Lestari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Hajiji menegaskan, perlindungan hak pemilik tanah adat dan penduduk asal menjadi antara keutamaan enakmen itu yang merangkumi semua projek karbon di tanah adat harus dilaksanakan dengan rundingan, rasa hormat dan memberi manfaat bersama.
"Ordinan Tanah Sabah juga telah dipinda bagi mengiktiraf penyimpanan karbon serta mengarusperdanakan tindakan iklim dalam sistem tadbir urus negeri.
“Inilah keadilan iklim yang sebenar iaitu keadilan, keterangkuman dan kelestarian bergerak seiring.
“Walaupun terdapat pelbagai cabaran seperti keupayaan institusi, penguatkuasaan, pembiayaan dan impak lapangan, kita tetap komited dengan semangat tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan hingga kini lebih 27 peratus tanah negeri bersamaan kira-kira 2 juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA).
"Kerajaan negeri turut merancang mewartakan tambahan 300 lagi di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968, menjadikan sasaran 30 peratus TPA semakin hampir dicapai.
“Pencapaian ini mencerminkan tekad kita untuk memastikan hutan Sabah yang kaya biodiversiti dan nilai karbon kekal sebagai warisan semula jadi untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut berharap komitmen Sabah terhadap inisiatif Jantung Borneo (Heart of Borneo - HoB) terus diperkukuh dan menjadi pemangkin utama dalam memelihara alam sekitar dan biodiversiti.
“Sehingga kini, lebih 27 peratus daripada tanah negeri kira-kira dua juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). Tahun ini, kita akan melangkah lebih jauh.
“Kita merancang untuk mewartakan tambahan tiga peratus lagi di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968, yang membawa kita lebih dekat kepada sasaran 30 peratus TPA. Pencapaian ini mencerminkan tekad kita untuk memastikan hutan Sabah yang kaya dengan biodiversiti dan nilai karbon kekal sebagai warisan semulajadi untuk generasi akan datang,” jelas beliau.
Pada majlis itu, Norlijah turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Kyoto, Jabatan Perhutanan Sabah, Sekretariat Sabah Maju Jaya, Borneo Rhino Alliance (BORA) dan Panthera sebagai simbol komitmen bersama ke arah kelestarian alam sekitar.
Turut hadir, Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan, Koordinator Serantau IUCN Asia Mohammad Khalid Sayeed Pasha serta lebih 1,000 peserta.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
