![]() |
Gambar ihsan Bomba |
TAMBUNAN: Tiga bangunan termasuk dua blok kelas dan sebuah kuarters guru di Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan musnah dalam kebakaran petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan, Mitchell Francis George, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 5.25 petang, api marak membakar tiga bangunan sekolah," katanya.
Menurutnya, kebakaran melibatkan bangunan kelas dan bilik guru jenis tidak kekal berkeluasan 25x50 kaki serta satu lagi bangunan kelas berkeluasan 25x30 kaki, masing-masing musnah 100 peratus, manakala kuarters guru jenis kekal berkeluasan 25x25 kaki terbakar 50 peratus.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran 400 kaki, empat pancutan secara offensive serta dua aliran salur bantu mula dengan teknik defensive," katanya.
Beliau berkata, sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran, manakala operasi terkawal pada jam 6.15 petang.
"Seramai 23 anggota termasuk bantuan daripada Balai Bomba Keningau serta Bomba Sukarela Kampung Tangaban, menggunakan aset FRT, Water Tanker dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Vigo)," katanya.
Tambah Mitchell, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
"Maklumat lanjut akan dikemaskini selepas siasatan forensik dijalankan," katanya.