KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya dan DUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dicabar untuk mengekalkan posisi mereka tanpa bantuan daripada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sudah tiba masa bagi kedua-dua ADUN terbabit untuk menunjukkan kekuatan mereka menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
"Mari kita lihat sejauh mana kamu berdua benar-benar kuat tanpa bendera BN.
"Buktikan bahawa kemenangan kamu dalam PRN16 dan PRU15 bukan kerana jentera, pengundi, dan pengaruh BN, tetapi kerana diri kamu sendiri.
"Jangan lagi berselindung di sebalik jasa parti yang kamu tikam dari belakang.
"Rakyat Sabah kini semakin celik politik. Mereka tahu menilai siapa yang setia dan siapa yang menjual prinsip demi jawatan dan kuasa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Shahelmey dan Andi sebagai simbol politik tanpa pendirian dan pemimpin yang sanggup menikam sahabat sendiri demi kepentingan sementara.
"UMNO dan BN tidak lupa. Kami telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan kamu dalam PRN17, bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menghapuskan legasi pengkhianatan yang memalukan politik Sabah.
"Kami yakin penyokong BN kini lebih bersemangat daripada sebelumnya dan bersatu untuk menjatuhkan dua watak yang tidak mengenal makna kesetiaan, maruah dan perjuangan.
"Dalam politik, pengkhianatan mungkin memberi kuasa sementara, tetapi pengkhianat tidak akan pernah dihormati sejarah," katanya.
Bung Moktar turut menggesa kepada semua pengundi di Tanjung Keramat dan Tanjung Batu untuk bersatu padu menjatuhkan dua ADUN itu.
"Kamu yang pernah menaikkan mereka, kamu jugalah yang berhak menjatuhkan dua pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat dan perjuangan BN," katanya.