KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunya sebarang isu berhubung lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk bertanding atas logo gabungan politik itu dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata isu keahlian kelima-lima ADUN berkenaan tidak lagi berbangkit selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.
"Sebelum ini keahlian mereka adalah di bawah STAR, tetapi saya tidak pasti sama ada mereka telah dipecat atau tidak.
"Namun isu itu sudah tidak berbangkit kerana DUN sudah dibubar, jadi tiada isu lompat parti," katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut beliau, kesemua ADUN terbabit akan bersama GRS dan mempunyai dua pilihan menjelang PRN-17.
Namun jelasnya, mereka bebas untuk menyertai mana-mana parti komponen GRS atau menjadi ahli langsung (direct member) di bawah gabungan itu.
"Mereka boleh memilih untuk menjadi ahli mana-mana parti komponen dalam GRS atau seperti saya, menjadi ahli langsung GRS.
"Dengan keahlian langsung, mereka boleh bertanding menggunakan watikah GRS yang sah di sisi undang-undang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan menegaskan bahawa GRS adalah parti berdaftar dan sah di sisi undang-undang, sekaligus menolak dakwaan pihak tertentu kononnya calon tidak boleh bertanding atas nama gabungan itu.
Lima ADUN berkenaan ialah Datuk Ellron Angin (Sook), yang juga Timbalan Presiden STAR; Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Kesemua mereka dipilih atas tiket STAR dalam Pilihan Raya Negeri 2020, namun kedudukan mereka menjadi perhatian selepas Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengumumkan parti itu akan bertanding secara solo pada PRN-17.
Pada 10 Oktober yang lepas, Jeffrey memaklumkan bahawa beliau menghormati keputusan lima penyandang kerusi DUN berkenaan untuk kekal bersama GRS, malah tidak terkejut dengan tindakan mereka itu.