KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan sebanyak sembilan jenis barangan tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum sempena Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim harga barang itu bertujuan memastikan harga barangan keperluan harian kekal stabil sepanjang musim perayaan nanti.
Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding lapan jenis barangan pada tahun lalu dengan satu tambahan baharu iaitu bawang merah kecil India dimasukkan dalam senarai kawalan harga.
“Pelaksanaan itu akan berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Oktober, merangkumi empat hari sebelum perayaan, sehari pada 20 Oktober (hari perayaan), dan dua hari selepasnya.
“Kita harap para peniaga turut menjual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan agar masyarakat India dapat menyambut Deepavali tanpa rasa terbeban,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SHMMP Deepavali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
“Antara barangan lain yang tersenarai ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India jenis Rose, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji dan kelapa parut,”jelasnya.
Menurut beliau, pelaksanaan SHMMP dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan ke lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pusat membeli belah bagi memantau kepatuhan para peniaga,”ujarnya.
Katanya, peniaga yang menjual melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
“Selain itu, kesalahan lain seperti tiada tanda harga dan tidak meletakkan harga warna pink itu juga ada kesalahan yang telah ditetapkan.
“Kita juga mengharapkan kerjasama masyarakat awam untuk melaporkan sebarang pelanggaran harga melalui platform aduan rasmi KPDN,” tambahnya.
Dalam pada itu, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu.
“Faktor penawaran (supply) dan permintaan (demand) sama penting kerana ia turut mempengaruhi kestabilan harga. Jadi kita telah jalinkan koordinasi awal dengan KPKM bagi mengelak sebarang gangguan bekalan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Deepavali dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) yang menawarkan diskaun servis kenderaan di 94 premis seluruh negara.
“Di Sabah, ada tiga premis yang melaksanakan program ini seperti Kuala Menggatal, Putatan dan Tawau.
“Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi Setel Petronas, dan pengguna digalakkan membuat tempahan awal bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.
Armizan menambah bahawa Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini memperlihatkan usaha kerajaan memperkukuh reformasi subsidi bersasar tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Antara yang diteruskan ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program SARA, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM13 bilion meliputi golongan B40, M40 rendah, warga emas dan bujang.
“Jika pada 2012 penerima hanya menerima RM500 setahun, kini mereka boleh menerima sehingga RM4,600 setahun melalui kombinasi STR dan SARA,” tambahnya.