KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menafikan dakwaan kononnya Kedutaan Besar China di Malaysia mengeluarkan ‘amaran keras’ kepada Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu gangguan bekalan air di negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Konsulat Jeneral China menjelaskan maklumat yang tersebar baru-baru ini adalah tidak benar dan menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran atau ancaman kepada Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mahupun mana-mana pihak berkuasa tempatan lain.
“Kedutaan Besar China di Malaysia dan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ kepada Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu bekalan air, dan tidak pernah menyebut tentang ‘amaran perjalanan’ seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.
Konsulat Jeneral turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh hubungan dengan Sabah dalam bidang pelancongan, perdagangan dan kebudayaan.
“Kami juga akan terus memudahkan pertukaran rakyat dan kerjasama peringkat tempatan antara kedua-dua negara,” katanya
Dalam masa sama, Konsulat Jeneral menyeru media tempatan agar melaporkan berdasarkan fakta dan mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak disahkan yang boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.