Suhu politik Sabah kian panas: STAR dan SAPP tinggalkan GRS, KM jumpa TYT



KOTA KINABALU: Suhu politik Sabah semakin panas apabila Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sah meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala spekulasi pembubaran DUN Sabah pula bertiup kencang dipercayai bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Spekulasi timbul apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan tertutup dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, petang tadi.

Pertemuan terbabit dipercayai membincangkan perkara berkaitan perkembangan politik negeri ini dan penetapan tarikh pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di adakan.

Berdasarkan tinjauan pengamal media, kenderaan yang membawa rombongan Hajiji telah keluar daripada Istana Seri Kinabalu sekitar jam 6:30 petang tadi.

Kemudian, selepas lima minit, kenderaan yang membawa rombongan  Musa beredar meninggalkan Istana Seri Kinabalu.

Turut difahamkan Istana Seri Kinabalu dan Jabatan Ketua Menteri Sabah tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan malam ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataan media hari ini turut membuat pengesahan keanggotaan STAR dan SAPP dalam gabungan terbabit gugur secara automatik selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN Sabah.

Menurutnya, hasrat itu disuarakan presiden dari dua parti itu dalam pertemuan yang dipengerusikan Hajiji yang juga merupakan Pengerusi GRS, di Sri Gaya di sini, malam tadi.

Selain STAR dan SAPP, GRS dianggotai oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakya), Parti Bersatu Sabah (PBS),  Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah, dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama