Warga emas, budak maut tragedi kepala air di Tongod

Gambar ihsan Bomba

TONGOD: Seorang kanak-kanak lelaki dan seorang wanita warga emas ditemui maut selepas dihanyutkan kepala air di Kampung Bangkulut, Imbak Timbangan Evogold Sdn Bhd, Tongod, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.46 malam itu, kedua-dua mangsa dilaporkan cuba menyeberangi laluan yang ditenggelami air akibat limpahan sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pasukan operasi tiba di lokasi sekitar jam 3.01 pagi dan segera menggerakkan usaha mencari serta menyelamat bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan PBS Tongod.

"Mangsa pertama iaitu wanita warga emas berjaya ditemui kira-kira 250 meter dari lokasi kejadian.

"Mangsa kedua, seorang kanak-kanak lelaki, ditemui pada jarak 200 meter dari mangsa pertama,” katanya.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dihanyutkan selepas terlepas daripada genggaman ibunya yang cuba menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.04 pagi selepas paras air sungai dilaporkan surut dan tiada ancaman lain dikesan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama