KOTA KINABALU: Dua parti komponen utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), sah tidak lagi bersama gabungan itu selepas mengambil keputusan untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, semalam.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu memberi ruang kepada semua presiden parti komponen menyatakan pendirian berhubung persiapan menghadapi PRN akan datang.
Katanya, Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, menyatakan hasrat untuk menggunakan lambang parti sendiri kerana tidak mahu terikat dengan rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Mesyuarat telah membuat ketetapan bahawa mana-mana parti komponen yang meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap keluar daripada GRS.
"Oleh itu, dengan keputusan STAR dan SAPP, keanggotaan mereka dalam GRS tamat serta-merta,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Masidi berkata, walaupun STAR dan SAPP memilih haluan berbeza, mereka tetap menghormati pendirian parti lain yang kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama dengan PH.
Beliau berkata, Hajiji turut mengingatkan bahawa prinsip kesatuan adalah asas utama GRS untuk menghadapi PRN-17, justeru semua parti perlu berjuang menggunakan satu lambang iaitu lambang GRS.
Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muhibah walaupun ada perbezaan pendapat.
"Semua pihak akur bahawa keputusan dibuat secara musyawarah demi menjaga kestabilan politik negeri,” katanya.
Dengan keluarnya STAR dan SAPP, PRN-17 dijangka lebih sengit apabila kedua-dua parti itu berkemungkinan meletakkan calon di kawasan yang turut ditandingi PH, sekali gus menguji kekuatan sokongan rakyat Sabah terhadap kerjasama GRS-PH.