Suhaimi jahil undang-undang, cubaan tabur fitnah menjelang PRN - Nizam

 

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyalahgunakan kuasa dalam isu membabitkan Sabah Forest Industries (SFI).

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tuduhan itu bukan sahaja berniat jahat, malah memperlihatkan kejahilan pada  undang-undang  sedia ada.

“Nampak percubaan terdesak untuk menabur fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang nanti. 

“Untuk makluman umum, saman sivil bernilai RM1.4 bilion yang disebut oleh Suhaimi adalah prosiding sivil yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan bukan sabitan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘bukan sahaja remeh dan menyusahkan, malah tidak berasas’ kerana melibatkan litigasi yang sedang berlangsung antara pihak-pihak terlibat.

“Kerajaan Negeri akan mengemukakan pembelaan menyeluruh dan yakin kebenaran akan terbukti apabipa proses undang-undang selesai,” jelasnya. 

Nizam turut menegaskan bahawa kemelut sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah Parti Warisan pada 2018.

“Kegagalan dan kerugian SFI berpunca daripada pentadbiran sebelum ini dan bukannya kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Beliau menambah bahawa SFI adalah syarikat swasta dan kerajaan negeri hanya memegang dua peratus saham.

“Segala urusan pembayaran gaji dan operasi syarikat tertakluk di bawah undang-undang buruh serta tanggungjawab majikan, bukan kerajaan negeri.

“GRS melihat kenyataan Suhaimi sebagai percubaan murahan untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO menjaga kepentingan rakyat Sabah selama ini,” ujar beliau. 

Beliau menegaskan, pentadbiran Hajiji dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Politik fitnah tidak akan membina Sabah. Kami percaya rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang sekadar menabur dusta demi kepentingan politik peribadi,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama