MCMC-SPR bakal wujudkan ‘special task force’ sepanjang PRN Sabah

 

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menubuhkan satu ‘Special Task Force’ bagi memantau serta mengawal kandungan media sosial sepanjang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pasukan khas itu akan memastikan semua pihak mematuhi undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

“Saya akan minta MCMC untuk mengadakan perbincangan dengan pihak SPR secepat mungkin kerana kita percaya PRN Sabah kali ini juga akan berlangsung dalam media sosial,” katanya pada sidang media selepas program penyerahan surat pelantikan Panel Penasihat Nadi di sini, pada khamis.

Menurutnya, penguatkuasaan beberapa perkara semasa pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa SPR, namun MCMC sedia membantu bagi memastikan kandungan tidak mematuhi undang-undang dapat dikenakan tindakan tegas.

“Jadi kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat. InsyaAllah minggu depan,”jelasnya. 

Dalam program sama, Fahmi turut mengumumkan pelantikan Panel Penasihat Nadi di beberapa bahagian Parlimen sekitar Sabah. 

Beliau menambah bahawa panel penasihat berkenaan bertujuan untuk membantu pengurusan dan pengoperasian Nadi agar perkhidmatannya lebih dekat dengan penduduk luar dari lokasi fizikal pusat berkenaan.

“Selama ini kita dapati aduan yang diterima menunjukkan komuniti berhampiran Nadi paling banyak memanfaatkan kemudahannya, manakala penduduk di kawasan lebih jauh sukar mendapatkan akses.

Jadi, bagi memantapkan pengoperasian, saya telah mengarahkan supaya satu jawatan kuasa panel penasihat dibentuk untuk membantu merapatkan Nadi dengan komuniti yang tak biasa ataupun di luar daripada lingkungan 1 ke 2 kilometer,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama