Mahkamah arah 40 peratus hasil Sabah dikembalikan, kemenangan untuk semua - SLS

KUALA LUMPUR: Rakyat Sabah hari ini menikmati satu kemenangan bersejarah apabila Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa negeri itu berhak menerima 40 peratus hasil Persekutuan seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan sejak penubuhan Malaysia pada 1963.

Keputusan yang disifatkan sebagai 'kemenangan untuk semua rakyat Sabah' itu sekaligus mengakhiri penantian panjang selama lebih lima dekad terhadap keadilan yang dituntut sejak sekian lama.

Bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Society), Roger Chin, berkata keputusan itu membuktikan bahawa geran khas 40 peratus bukan satu keistimewaan yang boleh dirunding, sebaliknya hak perlembagaan Sabah yang tidak boleh dinafikan.

“Hari ini merupakan detik bersejarah. Mahkamah telah menegakkan hak Sabah yang sekian lama dinafikan. 

"Ini kemenangan untuk setiap rakyat Sabah yang tidak pernah berhenti memperjuangkan keadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak itu juga menegaskan bahawa mekanisme perlembagaan yang menjamin hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan kekal sah dan tidak pernah dimansuhkan walaupun selepas beberapa semakan dibuat sebelum ini.

Roger berkata, walaupun kerajaan negeri sebelum ini menerima bayaran interim daripada kerajaan Persekutuan, ia tidak menjejaskan hak perlembagaan Sabah.

Katanya, mahkamah turut memutuskan bahawa Perintah Semakan 2022 serta Perintah Semakan 3 dan 4 cacat sebahagiannya kerana gagal mengambil kira tempoh antara tahun 1974 hingga 2021 tempoh yang disifatkan sebagai tahun-tahun yang diabaikan.

“Mahkamah menyatakan dengan jelas bahawa pengguguran tempoh tersebut adalah tidak sah. 

"Justeru, kerajaan Persekutuan perlu berbincang dengan kerajaan negeri dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam masa 180 hari menggunakan formula 40 peratus seperti dijamin Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu bermakna kerajaan Persekutuan kini wajib membayar tunggakan hasil Sabah selama hampir 50 tahun, sama ada melalui bayaran langsung atau pampasan perlembagaan.

Roger turut menegaskan bahawa keputusan ini bukan kemenangan untuk menentang kerajaan Persekutuan, sebaliknya kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia kerana ia menegakkan semangat asal pembentukan negara ini.

“Ini bukan soal Sabah menentang Persekutuan, tetapi tentang menunaikan janji dan menghormati Perlembagaan Malaysia.

"Kemenangan ini juga mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri Sabah yang terus mempertahankan hak-hak perlembagaan negeri.

"Usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam menjelaskan rekod sejarah, termasuk perkongsian hasil Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah antara tahun 1964 hingga 1968, telah menjadi faktor utama yang mengukuhkan hakikat bahawa niat dan kesan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan tidak pernah berubah.

"Kemenangan ini membuktikan bahawa Malaysia menepati janji yang dibuat pada 1963,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Sabah Law Society akan menentang sebarang cubaan untuk merayu atau menafikan keputusan bersejarah itu, sambil menyeru kerajaan Persekutuan agar menghormati keputusan mahkamah dan melaksanakannya segera.

“Mahkamah sudah bersuara, keadilan sudah ditegakkan. Janji 1963 akhirnya ditepati pada 2025,” katanya.

Keputusan ini bukan sekadar kemenangan di atas kertas, sebaliknya membuka lembaran baharu hubungan antara Sabah dan kerajaan Persekutuan berasaskan prinsip keadilan, maruah dan penghormatan terhadap hak perlembagaan negeri. 

Ia sekaligus mengembalikan semula suara dan hak rakyat Sabah yang sekian lama terpinggir.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama